Rabu, 14 November 2012

Berkatalah baik atau diam...!






Pada suatu saat ketika Rasulullah saw sedang bertawaf di Kabah, seorang lelaki bernama Fudholah bin Umair bermaksud hendak membunuh Baginda saw. Ia menyelinap dalam rombongan orang-orang yang bertawaf dan mendekati Baginda saw. Saat ia sudah berada dekat di samping Rasulullah saw dan mempunyai peluang untuk membunuh Baginda saw, tiba-tiba ia terkejut saat Rasulullah saw memandangnya.

Kemudian Rasulullah saw menoleh kepadanya saat ia sedang bertawaf, dan beliau berkata, “Wahai Fudholah, apa yang engkau bicarakan dengan hatimu?”

Fudholah menjawab, “Wahai Rasulullah, saya bertawaf. Saya mengingat Allah.”

Lalu Rasulullah diam dan melanjutkan tawafnya. Fudholah mengikutinya untuk kedua kalinya dan berjalan dengan tawaf di belakang Rasulullah.

Tidak berapa lama, Rasulullah menoleh lagi kepadanya dan berkata, “Apa yang engkau bicarakan dengan hatimu?”

Sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah menyembunyikan senyumannya kepada siapapun, termasuk orang yang berniat untuk membunuh Baginda saw. Seorang lelaki yang penuh dengan kebencian dan ingin membunuh, Rasulullah menoleh kepadanya dan memandangnya dengan tersenyum. Saat pertama kali, memandangnya dengan tersenyum. Saat kedua, memandangnya juga dengan senyuman.

Fudholah menjawab, “Wahai Rasulullah, saya mengingat Allah dan bertawaf.”

Rasulullah tersenyum dan melanjutkan tawafnya. Lalu lelaki itu mengikutinya.

Ketiga kali, Rasulullah menoleh kepadanya dan berkata, “Wahai Fudholah, apa yang engkau bicarakan dengan hatimu?”

Fudholah menjawab, “Wahai Rasulullah, aku mengingat Allah.”

Kemudian Rasulullah menoleh kepadanya.

Apakah kita tahu erti “menoleh kepadanya”?. Disebutkan di dalam sirah Nabi, antara budi pekerti Rasulullah bahawa kalau Baginda saw menoleh, ertinya Baginda saw menoleh dengan seluruh badannya.

Rasulullah menoleh kepadanya dan lalu meletakkan tangan beliau di dada lelaki itu. Dada yang penuh dengan kebencian dan kemarahan. Ia menyembunyikan pisau di badannya.

Ketika Rasulullah saw meletak tangan suci Baginda saw di dadanya, Fudholah berkata, “Demi Allah. Saat ia meletakkan tangannya di dadaku, tidak ada seorang pun di muka bumi ini yang paling aku benci melebihi dirinya. Namun setelah ia mengangkat tangannya dari dadaku, tidak ada seorang pun di muka bumi ini yang paling aku cintai melebihi dirinya.”

Selama hidup ini, kita banyak menemui orang-orang yang mewarisi perwatakan seperti Fudholah. Mereka ada di tengah-tengah masyarakat yang kita hidup ini. Akan tetapi, dada-dada mereka selalu sangat memerlukan orang-orang yang mewarisi perwatakan Rasulullah saw untuk menghilangkan sifat-sifat tercela dari dada-dada mereka yang penuh kemarahan dan kebencian.

Mereka yang mewarisi watak Fudholah menunggu muslim yang mampu mewarisi watak Rasulullah saw.
Berapa ramai yang menyakitiku ketika aku mendengar sebahagian dari kaum muslimin berbicara dan berkata, “Saat ini banyak ditemui para pendakwah yang berkata dengan kelembutan dan kedamaian, berkata dengan budi pekerti dan kasih sayang. Ini fenomena baru telah muncul yang ingin menggantikan jihad.”

Inilah bentuk jihad yang kita perlukan saat ini. Di sini, dalam masyarakat kita. Kerana sesungguhnya kita perlu untuk berjihad kepada hati yang di dalam dada, hingga kita mampu menundukkannya. Sampai kita mampu mendidiknya. Sampai kita boleh meninggikannya ke langit. Supaya kita mampu untuk memberikan pertolongan kepada siapa saja yang hidup di muka bumi ini.

Inilah yang dimaksud kalam Baginda, Rasulullah saw. Rasulullah saw bersabda, “Berkata kalimat yang baik adalah sedekah”

Saat ini dengarkan orang-orang yang berkata, “Berkata kalimat yang baik adalah sia-sia.” Baiklah, kami hormati. Akan tetapi rujukan dan contoh tauladan kita tetap pada Rasulullah saw yang berkata bahawa berkata kalimat yang baik adalah sedekah. Saya tidak mampu meninggalkan perkataan Rasulullah dan mengambil perkataan orang lain.

“Berkata kalimat yang baik adalah sedekah”
                              

Khamis, 18 Oktober 2012

Rantaian doa dalam hidup seorang gadis...!


Doa yang di panjatkan ketika masih gadis...

“Ya Allah kurniakan aku calon suami yang baik dan yang soleh. Berikan padaku suami yang dapat ku jadikan imam dalam keluargaku.”



Doa yang di panjatkan ketika selesai akad nikah...
“Ya Allah anugerahkan padaku anak yang soleh dan solehah, agar mereka dapat mendoakanku ketika aku mati nanti dan menjadi salah satu amalanku yang tidak pernah putus.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak lahir...
“Ya Allah beri aku kesempatan menyekolahkan mereka di sekolah yang baik amalan Islamnya walaupun mahal, kurniakan aku rezeki untuk itu ya Allah….”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak sudah mulai bersekolah...
“Ya Allah….. jadikan dia murid yang baik sehingga dia dapat berakhlak Islamik, agar dia mampu khatam Al Quran pada usia muda.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak sudah beranjak remaja...
“Ya Allah jadikan anakku ini bukan pengikut arus modenisasi yang membimbangkanku. Ya Allah aku tidak ingin ia mendedahkan auratnya, kerana dia ibarat buah yang sedang ranum.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak menjadi dewasa...“Ya Allah mudahkanlah jodohnya, berilah jodoh yang soleh pada mereka dan baik serta sesuai setara dengan keluarga kami.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak bernikah... 
“Ya Allah jangan kau putuskan talian darah ibu dan anak ini, aku takut kehilangan perhatiannya dan takut kehilangan dia kerana dia akan ikut pasangannya.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak akan bersalin...“Ya Allah mudah-mudahan cucuku lahir dengan selamat. Aku inginkan nama pemberianku pada cucuku, kerana aku ingin memanjangkan kebaikan dan wibawaku sebagai ibu dari ibunya cucuku ini.”



Ketika seorang wanita memanjatkan doa-doa itu, mereka membayangkan Allah swt tersenyum dan berkata....


“Engkau ingin suami yang baik dan soleh,  sudahkah engkau sendiri baik dan solehah...? Engkau ingin suamimu menjadi imam, akankah engkau jadi makmum yang baik...?”


“Engkau ingin anak yang solehah, sudahkah itu ada padamu dan pada suamimu. Jangan ego begitu…… mana mungkin engkau ingin anak yang solehah hanya kerana engkau ingin mereka mendoakanmu. Tentulah jika mereka menjadi solehah, ia adalah dari kurniaan Ku, dan aturan yang mereka ikuti haruslah melalui aturan Ku.”


“Engkau ingin menyekolahkan anakmu di sekolah yang baik amalan Islamnya, kerana apa?… atau engkau tidak mahu disusahkan untuk mendidik cara hidup Islam padanya? Engkau juga harus belajar, engkau juga harus berakhlak Islam, engkau juga harus membaca Al Quran dan berusaha mengkhatamkannya”


“Bagaimana engkau dapat menahan anakmu tidak menebarkan pesonanya dengan mendedahkan aurat, jika engkau sebagai ibunya sendiri payah untuk menutup aurat? Padahal engkau tahu Aku wajibkan itu untuk keselamatan dan kehormatan hamba Ku.”


“Engkau bicara keinginanmu terhadap calon menantumu, seolah engkau tidak percaya ayat 3 dan 26 surah An Nuur dalam Al Quran Ku. Percayalah, jika anakmu adalah anak yang solehah, maka yang sepadanlah yang dia akan dapatkan.”


“Engkau hanya mengandung, melahirkan dan menyusui anakmu. Aku yang memiliki dia mutlak, Aku bebaskan dia dengan kehendak Ku. Aku tetap mencintainya, walaupun dia berpaling dari Ku, bahkan ketika dia melupakan Ku. Aku tetap mencintainya...”


“Anakmu adalah amanahmu, cucumu adalah amanah dari anakmu, berilah kebebasan untuk melepaskan busur anak panahnya sendiri yang menjadi amanahnya.”



Lalu... wanita itu jadi malu sendiri dengan imaginasi doa-doanya. Katanya, “Aku malu akan tuntutanku kepada-Nya... Maafkan aku ya Allah...




Isnin, 8 Oktober 2012

Dosa Dan Kesannya.....!


Dalam kita menjalani kehidupan di dunia ini, kita seharusnya berlumba-lumba untuk mendapatkan keampunan dan pahala yang banyak dari Allah Subhanahu Wata’ala sebagai bekalan di akhirat nanti. Walau bagaimanapun sebagai hamba Allah, kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa, sama ada kecil atau besar, sengaja atau pun tidak. Ini kerana sifat semula jadi manusia yang lemah dan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsunya. Tetapi itu bukanlah alasan bagi membolehkan berbuat dosa kerana orang yang beriman setentunya taat kepada perintah Allah dan sunnah Rasulullah, dan tidak akan mudah kalah oleh hawa nafsu, sebaliknya berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat. Allah swt dalam Surah Ali ‘Imran ayat 133, tafsirnya :

“Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Sebenarnya perkara dosa dan maksiat ini tidak boleh dipandang ringan kerana setiap perbuatan yang kita lakukan pasti akan mendapat balasan daripada Allah sama ada di dunia atau di akhirat. Dan ingatlah bahawa balasan dan kesan daripada dosa itu boleh saja Allah timpakan bila-bila masa dan tanpa kita sedari.

Adapun di antara kesan-kesan akibat dari perilaku dosa dan maksiat itu ialah,

Pertama : Menggelapkan hati kerana kegelapan dan kekerasan hati membuat manusia itu semakin jauh dari kebenaran dan rahmat Allah swt. Oleh itu hati perlu dijaga dan digilap selalu dengan zikir dan melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan Nya. Rasulullah saw bersabda maksudnya :

“Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin jika ia melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam”. (Riwayat Imam Ibnu Majah).

Kesan yang kedua pula ialah terhalang dari mendapat rezeki. Perkara ini telah disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, maksudnya :

“Dari Sayuba ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Tiada yang dapat menambah umur kecuali amal kebajikan. Dan tiada suatu yang dapat menolak takdir kecuali doa. Dan sesungguhnya seorang itu diharamkan rezeki baginya disebabkan dosa yang diperbuatnya”.

Adapun kesan yang ketiga pula ialah hawa nafsu akan menguasai diri. Bila hawa nafsu telah menguasai diri manusia, sudah setentunya mereka tidak akan dapat menilai tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Mereka juga akan terus hanyut dibuai keseronokan yang akhirnya membawa padah yang buruk dan mendapat kemurkaan daripada Allah. Firman Allah swt dalam Surah Al Jaatsiyah, ayat 23 tafsirnya :

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu wahai Muhammad terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya : Tuhan yang dipatuhinya dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah menjadikan dia berkeadaan demikian? Oleh itu, mengapa kamu wahai orang-orang yang ingkar tidak mahu beringat dan berinsaf?”.

Kesan yang keempat pula ialah mendapat azab dari Allah swt. Setiap pelaku dosa atau maksiat perlu menyedari bahawa dosa dan maksiat yang dilakukan akan mendapat kemurkaan Allah. Allah berfirman dalam Surah Asy Syuura ayat 30, tafsirnya :

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan atau bala bencana, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu”.

Dari kesan-kesan dosa dan maksiat yang dijelaskan tadi, apakah tidak timbul kesedaran di dalam diri kita untuk menginsafi segala perbuatan dosa dan maksiat yang telah kita lakukan. Apa yang penting ialah kita hendaklah sentiasa muhasabah diri, bertaubat, berdoa dan seterusnya berazam untuk kembali ke jalan yang benar dan lurus serta diredhai Allah. Semoga dengan demikian, Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan sentiasa melimpahkan rahmat dan belas kasihan Nya kepada kita semua sehingga dengannya kita dapat hidup aman bahagia di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah swt dalam Surah An Nuur, ayat 31 tafsirnya :

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya”.

Isnin, 1 Oktober 2012

puasa si miskin...!

Antara pelajaran yang paling memberikan pengajaran padaku dalam meniti perjalanan hidup ini...

Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun: 

"Mana emak? " "Mak pergi menoreh," jawabnya. "Mana bapak?" "Bapak pergi kerja..." "Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan. 

"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan. "Awak ada berapa orang adik-beradik? " "Sepuluh." "Adik ni yang ke berapa?" "Saya yang kelapan." "Mana abang-abang kamu pergi?" "Tolong emak menoreh." "Adik puasa hari ini?" "Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..."Jawabnya. 

Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu. Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?" "Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..". "Bapak kerja apa?" "Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk". 

Budak itu memberitahu, lebih baik bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. 

Aku berlalu dari situ dengan seribu satu keinsafan. Kebetulan disimpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. 

Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. 

Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. 

Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: 

Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu. 

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah pakcik.." 

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? 

Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. 

Dia berkata "Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat." Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?" "Cuma RM3.00 sehari." "Ayahnya bekerja macam mana" "Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari." 

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah.. 

Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? 

Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalaupun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita. 

Mudah-mudahan menjadi tauladan bagi kita dan hendaklah sentiasa bersyukur dengan apa yang ada pada kita. Hidup kita susah hidup orang lebih lagi....  


Jumaat, 28 September 2012

taubat seorang pencinta...!


Tika hati diuji manisnya cinta
Ingatan hanyalah pada si dia
Rindu padanya kian membara
Sayang dan kasih berputik untuknya..



Hati ingin mencintai
Hati juga ingin dicintai
Diri ingin menyayangi
Diri juga ingin disayangi..



Dan seketika, aku termenung jauh sendirian
Mengenang akan dosa-dosa yang ku lakukan
Aku sentiasa tertanya-tanya
Adakah hubungan cinta ini satu dosa???



Aku telah diberi petunjuk oleh-Nya
Manual Al-Quran dan As-Sunnah telah menjelaskan hukumnya
Hubungan cinta sebelum kahwin
Adalah satu daripada cabang panahan syaitan
Syaitan sentiasa menjadikan kita
Memandang kemungkaran sebagai suatu kebaikan
Dan begitu juga sebaliknya..



Baru aku sedar, cinta sebelum kahwin
Adalah salah di sisi ISLAM
Ia dikatakan HARAM!!!
Kerana ia mendekati zina
Hubungan cinta mendatangkan banyak dosa dan maksiat
Kepada setiap pelakunya..



Dalam bercinta, zina hati tetap akan berlaku
Kerana di mana adanya cinta di situ adanya rindu
Zina tangan, zina lidah dan sebahagiannya lagi
Sentiasa menanti penuh pasti pasangan-pasangan yang bercinta
Kerana syaitan sentiasa menjadi
Orang ketiga dalam hubungan percintaan ini..



Ya Muhaimin,
Aku insaf akan kejahilan diriku
Aku telah memutuskan hubungan cintaku dengan si dia
Walaupun luka menyelaputi hati ini
Akan ku cuba untuk ubati..



Ya Rabbana,
Alhamdulillah kerana Engkau telah menyedarkan aku
Daripada kejahilan cinta buta ini
Aku ingin menemui cinta yang diredhai Mu
Aku ingin menuju ke jalan percintaan yang halal
Iaitu hanyalah cinta selepas kahwin..



Aku ingin hidup selari dengan landasan ISLAM
Aku sanggup berkorban demi untuk mendapatkan redha Mu
Aku insan biasa yang tidak pernah luput daripada dosa
Ampunilah aku yang selalu alpa..



Ya Rabbul Izzati,
Bimbinglah hatiku ini sentiasa
Agar aku tidak jatuh dalam sumur dosa
Aku bertaubat pada Mu..
Terimalah taubatku..
Ampunilah aku..







Rabu, 26 September 2012

Kemaafan yang terindah...!


Pertolongan dan kasih sayang Allah di dunia ini bukan untuk orang yang taat sahaja. Orang yang bermaksiat sekalipun masih mendapat percikan kasih sayang Allah. Dan sesungguhnya, jika Allah mahu, Allah boleh balas perbuatan maksiat itu on the spot. Saat si pelaku maksiat itu melakukan maksiat lagi. Tapi, kerana betapa besarnya kasih sayang Ilahi, Dia masih bersabar dengan dosa-dosa hamba-hamba-Nya. Kerana Maha Penyayang Dia, Dia tidak membalas dosa hamba-hamba-Nya yang melakukan maksiat secara langsung.

“Dan Robb mu jua yang Maha Pengampun, lagi mempunyai rahmat. Jika Dia mengazab mereka kerana perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan azab bagi mereka.” (QS Al-Kahfi: 58)

“Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar.” (QS An-Nur:14)

“Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya.” (QS An-Nur 21)

Ingatkah kita pada kata-kata-Nya? Allah menyuruh kita berpaling kepada-Nya. Kembalilah kepada-Nya. Bacalah kata-kata Ilahi yang seterusnya ini. Rasakan dengan hati kita yang paling dalam. Allah mengatakan ini dengan kasih sayang-Nya yang tanpa batas.

“Katakanlah,”Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia jua yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Robb mu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (QS Az-Zumar: 53-54)

Allah datang dengan ampunan. Allah berkata kepada kita,”Dan kembalilah kamu kepada Robb mu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” Pertanyaannya kini, “Sesungguhnya apa yang Allah kehendaki dari kita?”Pertanyaan ini telah dijawab oleh Allah dalam firman-Nya...

“Allah hendak menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran). Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (QS An-Nisa’: 27-28)

Sesungguhnya Allah itu Ash-Shabur, yakni Robb yang Maha Penyabar. Tahukah kita betapa teruknya ketika seorang kafir mengatakan yang Allah itu mempunyai anak? Betapa dahsyatnya anggapan Allah itu mempunyai anak sehinggakan dengan anggapan mereka itu hampir sahaja langit pecah, bumi terbelah dan gunung-gunung runtuh.

“Dan mereka berkata,’(Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak’. Sungguh, kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar, hampir saja langit pecah, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh (kerana ucapan itu), kerana mereka menganggap (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak. Dan tidak mungkin bagi (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak.” ( QS Maryam: 88-92)

Sehingga Rasulullah saw bersabda, ”Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitkan yang lebih sabar dari Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan memberi mereka rezeki. ” (Ahmad)

Rahmat-Nya meliputi seluruh manusia, termasuklah orang-orang kafir. Adakah Allah mencegah rezeki orang kafir ? Selamanya, bukankah ini suatu rahmat? Walaupun mereka bermaksiat kepada Allah dan tidak menyembah-Nya? Adakah Allah menghentikan bekalan udara yang dihirupnya? Tidak, walaupun bumi dan langit ini milik-Nya. Itulah rahmat Allah dan mudah-mudahan mereka kembali kepada-Nya. Betapa Allah itu Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Penyabar.

Ada satu kisah...

Suatu hari datanglah seorang lelaki tua kepada Nabi Ibrahim as, lalu Nabi Ibrahim as mengajaknya untuk makan bersama. Kemudian Nabi Ibrahim as menyalakan api agar makanan itu cepat masak. Tiba-tiba, lelaki tua itu mendekati tungku api tersebut lalu menyembahnya, kerana beliau beragama penyembah api. Lalu Nabi Ibrahim as berkata,”Pergilah, apakah engkau menyembah api?” Maka lelaki tua itu berdiri lalu meinggalkan rumah Nabi Ibrahim as.

Seketika kemudian, Allah mengutus Jibril as kepada Nabi Ibrahim as seraya berkata,”Wahai Ibrahim mengapa engkau tidak mahu bersabar sesaat sedangkan Aku bersabar terhadapnya selama 60 tahun.”

Kemudian lelaki tua itu muncul dari arah belakang Nabi Ibrahim as dan Baginda as menngajaknya makan bersama. Lelaki tua itu berkata,”Mengapa engkau diam saja?” Lalu Nabi Ibrahim as berkata,”Robb ku telah menegurku tentang engkau.” “Robb yang Maha Pengasih, Dia berhak disembah,” jawab lelaki tua tersebut dan dia pun masuk Islam.

Subhanallah... Allah berkata kepada Nabi Ibrahim as, ”Wahai Ibrahim mengapa engkau tidak mahu bersabar sesaat sedangkan Aku bersabar terhadapnya selama 60 tahun.” Dialah Allah yang Maha Penyabar, Maha Esa dan Zat tempat bergantung seluruh makhluk. Dia diderhakai, tetapi tetap bersabar. Begitu ramai orang yang tidak menunaikan hak Allah, tetapi Allah memaafkan.

Setiap saat Allah membelai kita, menjaga kita dan menolong kita, tetapi kita sering tidak menyedarinya.

Saya ingin kongsikan lagi sebuah cerita lain...

Ibnu Qudamah dalam satu karyanya berjudul Tawwabin, menceritakan kisah menarik tentang kasih sayang dan pertolongan Allah. Ibnu Qudamah merujuk kepada kesaksian seseorang yang telah mengalami sebuah kejadian benar yang menakjubkan. Orang itu bernama Yusuf bin Husain. Dia menuturkan kisahnya...

Pernah suatu ketika aku bersama Dzun Nun Al Mishri berada di tepian sebuah anak sungai. Aku melihat seekor kala jengking besar di tempat itu. Tiba-tiba ada seekor katak muncul ke permukaan, dan kala jengking itu kemudiannya naik ke atas belakangnya. Kemudian sang katak itu berenang menyeberangi sungai.”

“Dzun Nun Al-Mishri berkata, ada sesuatu yang aneh dengan kala jengking itu, mari kita ikuti dia!”

“Maka kami terus mengikuti kala jengking yang didukung oleh katak itu. Kami terperanjat ketika menjumpai seseorang yang kelihatan seperti mabuk, tertidur di tepian sungai. Dan di sebelahnya ada seekor ular yang sudah menjalar dari pusat kemudian ke dadanya. Kelihatan seperti ular tersebut hendak menggigit telinganya.”

“Lalu kemudiannya kami dapat menyaksikan suatu kejadian yang luar biasa. Kala jengking itu tiba-tiba melompat sepantas kilat ke atas tubuh ular itu lalu menyengat ular itu sekuat-kuatnya, sehingga sang ular menggeliat-geliat dan terkoyak-koyak tubuhnya.”

“Dzun Nun pun membangunkan anak muda yang sedang mabuk itu. Sesaat kemudian anak muda itu terjaga. Dzun Nun berkata,’Hai anak muda, lihatlah betapa besarnya kasih sayang Allah yang telah menyelamatkanmu. Lihatlah kala jengking yang diutuskan-Nya untuk membinasakan ular yang hendak membunuhmu!’ ”

“Lalu Dzun Nun melanjutkan nasihatnya,’Hai orang yang terlena, padahal Allah menjaganya dari bahaya yang merayap di kala gelita. Sungguh aneh, mata manusia mampu terlelap meninggalkan Ilahi yang Kuasa, yang melimpahkan dengan pelbagai nikmat.”


“Setelah itu pemabuk itu berkata,’Wahai Robb ku, betapa agung kasih sayang Mu sekalipun terhadap diriku yang derhaka kepada Mu ini. Jika demikian, bagaimana pula dengan kasih sayang Mu terhadap orang yang selalu taat kepada-Mu?”
Subhanallah... Itu kasih sayang Allah pada mereka yang bermaksiat kepada-Nya.. Ya Allah, tidak terbayang bagi kami bagaimanalah kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya yang taat dan mencintai-Nya...

Satu lagi kisah yang saya mahu kongsikan. Sebuah kisah yang juga sangat menyentuh hati. Wahai hati, sedarkah kamu yang Dia Maha Menerima Taubat? Bukankah dengan sifat-Nya yang Maha Menerima Taubat itu telah membuktikan bahawasanya Dia Maha Penyayang.

Selamilah kisah berikut ini...

Kisah di zaman Nabi Musa as...

Masa itu kemarau yang amat dahsyat, sehinggakan umat Nabi Musa as meminta Nabi Musa as untuk memohon pada Allah agar diturunkan hujan. Berkumpullah semua pengikut Nabi Musa as di satu kawasan lapang. Maka, Nabi Musa as pun berdoa, tetapi, hujan masih tidak turun-turun... Bertanyalah Nabi Musa as pada Allah,"Kenapa ya Allah?"

Allah pun berkata,"Sesungguhnya Musa, di dalam kelompok pengikutmu, ada seorang hamba Ku yang telah bermaksiat kepada Ku selama 40 tahun... Disebabkan dia, hujan tidak akan turun. Keluarkan dia dari kelompok itu..."

Maka, Nabi Musa as pun menyeru pada kumpulan itu,"Keluarlah wahai seorang hamba-Nya yang telah bermaksiat pada Allah selama 40 tahun.. Keluarlah dari sini. Kerana kamu hujan tidak akan turun.."

Lalu, tersedarlah hamba tersebut.. Dia jadi serba salah.. Jika dia tidak keluar, maka mereka semua akan mati kerana kemarau. Tetapi, jika dia keluar, dia akan berasa amat malu.. Malu sangat.. Lantas, dia berdoa pada Allah,"Ya Allah.. Selama 40 tahun ini, aku telah bermaksiat pada Mu.. Tetapi Engkau masih menutup aibku hingga kini.. Ya Allah, aku bertaubat pada Mu.. Aku bertaubat... Ya Allah, selamatkanlah aku.." Hamba tersebut masih berada dalam kumpulan itu dan terus berdoa.

Tidak semena-mena... hujan pun turun mencurah-curah. Terkejutlah Nabi Musa as. Nabi Musa as pun bertanya kepada Allah, “kenapakah?” Allah menjawab,"Wahai Musa, Aku sangat gembira kerana hamba Ku yang telah bermaksiat pada Ku tadi telah bertaubat. Maka Aku turunkan hujan kerana dia telah bertaubat." Nabi Musa as pun berkata lagi,"Ya Allah, kau tunjukkanlah padaku siapakah hamba tersebut agar aku dapat bergembira dan dapat meraikan dia.."

Apa Allah kata selepas itu? Ini kata-kata Allah... "Wahai Musa, selama ini aku telah menutup aibnya selama 40 tahun.. Dan mana mungkin aku membuka aibnya kepadamu pada hari ini..."

Subhanallah... Ya Allah, kami terharu. Allah menutup aib itu dari hamba-hamba-Nya yang lain, hatta seorang Nabi pun. Yakinlah, Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Allah tidak akan pernah jemu memberi kemaafan dan keampunan. Tolonglah yakin dengan sebenar-benar keyakinan pada-Nya...


Sebuah kisah lain di zaman Rasulullah saw...
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw seraya berkata, ”Jika aku berbuat dosa, adakah akan ditulis?”
Rasulullah saw menjawab,”Ya, akan ditulis.”

Lelaki itu bertanya lagi, ”Bagaimana jika aku bertaubat?”

Rasulullah saw menjawab,”Akan dihapus.”

Lelaki itu bertanya lagi, ”Bagaimana jika aku mengulangi lagi?”

Rasulullah saw menjawab, ”Akan ditulis.”

Lelaki itu bertanya lagi, ”Ya Rasulullah, bagaimana jika aku bertaubat?”

Rasulullah saw menjawab,”Akan dihapus.”

Lelaki itupun berkata,”Ya Rasulullah, sampai bilakah Allah akan menghapus dosa?”

Rasulullah saw menjawab,”Allah tidak akan bosan memberi ampunan sehingga kalian bosan meminta ampun.” (Thabrani dan al-Hakim)

Begitu jugalah di sekeliling kita... Ada tanda-tanda kasih sayang Ilahi. Cuba lihat kasih sayang seekor kucing kepada anak-anaknya.. Malahan, lihat dan rasakanlah kasih sayang yang telah diberikan ibu, ayah, adik-adik, kakak abang dan kawan-kawan kepada kita..Subhanallah...

Semua kasih sayang ini yang Allah hadirkan pada hamba-hamba-Nya. Pada kita semua, tidak kira manusia, jin atau pun haiwan... padahal di dunia ini, Allah hanya turunkan 1% sahaja kasih sayang-Nya...

Dengan 1% itulah hinggakan ibu burung sampai mengangkat kakinya dek takut diri terpijak anaknya...

Dengan 1% itulah orang di sekeliling kita menyayangi kita...Ya Allah.. Sebegini hebat 1% ini.. sudahlah 1% ini pun Allah yang pinjamkan..

Lalu, di mana yang 99% itu? Itu Allah punya.. Maka, bukankah kasih sayang Allah lagi Maha Banyak daripada kita semua...?

Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih...

Rasulullah saw pernah bersabda, “Allah swt  mempunyai 100 rahmat (kasih sayang), dan menurunkan 1 rahmat (dari 100 rahmat) kepada jin, manusia, binatang, dan haiwan melata. Dengan rahmat itu, mereka saling berbelas-kasih dan berkasih sayang, dan dengannya pula binatang-binatang buas menyayangi anak-anaknya. Dan (Allah swt) menangguhkan 99 bahagian rahmat itu sebagai kasih sayang-Nya pada Hari Kiamat nanti.” (Muslim)

Mahu saya kongsikan lagi kisah kasih sayang Dia...?

Inilah kisahnya...

Rasulullah saw melihat seorang ibu memegang anaknya, maka Baginda saw bersabda,"Adakah kalian berpendapat wanita ini sanggup melemparkan anaknya ke neraka?" Mereka menjawab,"Tidak." Rasulullah saw bersabda lagi,"Cinta Allah kepada hamba-hamba-Nya melebihi cinta ibu tadi kepada anaknya." (Ahmad)

Jangan lupa...Kita diciptakan dengan kasih-sayang-Nya.. Ya, kita diciptakan oleh-Nya dengan kasih sayang. Apakah perkataan Allah pertama kali pada Nabi Adam as?

Rasulullah saw bersabda,”Saat Allah menciptakan Adam, dan meniup ruh pada dirinya, Adam bersin. Dia berkata,’Alhamdulillah (segala puji bagi Allah).’ Adam mengucapkan tahmid tersebut dengan izin-Nya. Kemudian Robb-nya berkata,’Semoga Allah merahmatimu (mengasihimu), wahai Adam.’ ” (Tirmidzi)

Perkataan Allah pertama kali kepada Nabi Adam as adalah,”Robb mu mengasihimu..”

Allah itu Ar-Rahman..

“Robb mu telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang,” (QS Al-An’am:54)

"Maybe you have someone that love you, but Allah loves you most.. So let us love Allah.."

Allah sayang aku, kamu, kami dan kalian semua.. Insya Allah...

Wahai diri... Marilah bertaubat...... semoga diperolehi kasih sayang dari-Nya...

Wallahu`alam