Khamis, 18 Oktober 2012

Rantaian doa dalam hidup seorang gadis...!


Doa yang di panjatkan ketika masih gadis...

“Ya Allah kurniakan aku calon suami yang baik dan yang soleh. Berikan padaku suami yang dapat ku jadikan imam dalam keluargaku.”



Doa yang di panjatkan ketika selesai akad nikah...
“Ya Allah anugerahkan padaku anak yang soleh dan solehah, agar mereka dapat mendoakanku ketika aku mati nanti dan menjadi salah satu amalanku yang tidak pernah putus.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak lahir...
“Ya Allah beri aku kesempatan menyekolahkan mereka di sekolah yang baik amalan Islamnya walaupun mahal, kurniakan aku rezeki untuk itu ya Allah….”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak sudah mulai bersekolah...
“Ya Allah….. jadikan dia murid yang baik sehingga dia dapat berakhlak Islamik, agar dia mampu khatam Al Quran pada usia muda.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak sudah beranjak remaja...
“Ya Allah jadikan anakku ini bukan pengikut arus modenisasi yang membimbangkanku. Ya Allah aku tidak ingin ia mendedahkan auratnya, kerana dia ibarat buah yang sedang ranum.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak menjadi dewasa...“Ya Allah mudahkanlah jodohnya, berilah jodoh yang soleh pada mereka dan baik serta sesuai setara dengan keluarga kami.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak bernikah... 
“Ya Allah jangan kau putuskan talian darah ibu dan anak ini, aku takut kehilangan perhatiannya dan takut kehilangan dia kerana dia akan ikut pasangannya.”



Doa yang di panjatkan ketika anak-anak akan bersalin...“Ya Allah mudah-mudahan cucuku lahir dengan selamat. Aku inginkan nama pemberianku pada cucuku, kerana aku ingin memanjangkan kebaikan dan wibawaku sebagai ibu dari ibunya cucuku ini.”



Ketika seorang wanita memanjatkan doa-doa itu, mereka membayangkan Allah swt tersenyum dan berkata....


“Engkau ingin suami yang baik dan soleh,  sudahkah engkau sendiri baik dan solehah...? Engkau ingin suamimu menjadi imam, akankah engkau jadi makmum yang baik...?”


“Engkau ingin anak yang solehah, sudahkah itu ada padamu dan pada suamimu. Jangan ego begitu…… mana mungkin engkau ingin anak yang solehah hanya kerana engkau ingin mereka mendoakanmu. Tentulah jika mereka menjadi solehah, ia adalah dari kurniaan Ku, dan aturan yang mereka ikuti haruslah melalui aturan Ku.”


“Engkau ingin menyekolahkan anakmu di sekolah yang baik amalan Islamnya, kerana apa?… atau engkau tidak mahu disusahkan untuk mendidik cara hidup Islam padanya? Engkau juga harus belajar, engkau juga harus berakhlak Islam, engkau juga harus membaca Al Quran dan berusaha mengkhatamkannya”


“Bagaimana engkau dapat menahan anakmu tidak menebarkan pesonanya dengan mendedahkan aurat, jika engkau sebagai ibunya sendiri payah untuk menutup aurat? Padahal engkau tahu Aku wajibkan itu untuk keselamatan dan kehormatan hamba Ku.”


“Engkau bicara keinginanmu terhadap calon menantumu, seolah engkau tidak percaya ayat 3 dan 26 surah An Nuur dalam Al Quran Ku. Percayalah, jika anakmu adalah anak yang solehah, maka yang sepadanlah yang dia akan dapatkan.”


“Engkau hanya mengandung, melahirkan dan menyusui anakmu. Aku yang memiliki dia mutlak, Aku bebaskan dia dengan kehendak Ku. Aku tetap mencintainya, walaupun dia berpaling dari Ku, bahkan ketika dia melupakan Ku. Aku tetap mencintainya...”


“Anakmu adalah amanahmu, cucumu adalah amanah dari anakmu, berilah kebebasan untuk melepaskan busur anak panahnya sendiri yang menjadi amanahnya.”



Lalu... wanita itu jadi malu sendiri dengan imaginasi doa-doanya. Katanya, “Aku malu akan tuntutanku kepada-Nya... Maafkan aku ya Allah...




Isnin, 8 Oktober 2012

Dosa Dan Kesannya.....!


Dalam kita menjalani kehidupan di dunia ini, kita seharusnya berlumba-lumba untuk mendapatkan keampunan dan pahala yang banyak dari Allah Subhanahu Wata’ala sebagai bekalan di akhirat nanti. Walau bagaimanapun sebagai hamba Allah, kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa, sama ada kecil atau besar, sengaja atau pun tidak. Ini kerana sifat semula jadi manusia yang lemah dan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsunya. Tetapi itu bukanlah alasan bagi membolehkan berbuat dosa kerana orang yang beriman setentunya taat kepada perintah Allah dan sunnah Rasulullah, dan tidak akan mudah kalah oleh hawa nafsu, sebaliknya berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat. Allah swt dalam Surah Ali ‘Imran ayat 133, tafsirnya :

“Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Sebenarnya perkara dosa dan maksiat ini tidak boleh dipandang ringan kerana setiap perbuatan yang kita lakukan pasti akan mendapat balasan daripada Allah sama ada di dunia atau di akhirat. Dan ingatlah bahawa balasan dan kesan daripada dosa itu boleh saja Allah timpakan bila-bila masa dan tanpa kita sedari.

Adapun di antara kesan-kesan akibat dari perilaku dosa dan maksiat itu ialah,

Pertama : Menggelapkan hati kerana kegelapan dan kekerasan hati membuat manusia itu semakin jauh dari kebenaran dan rahmat Allah swt. Oleh itu hati perlu dijaga dan digilap selalu dengan zikir dan melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan Nya. Rasulullah saw bersabda maksudnya :

“Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin jika ia melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam”. (Riwayat Imam Ibnu Majah).

Kesan yang kedua pula ialah terhalang dari mendapat rezeki. Perkara ini telah disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, maksudnya :

“Dari Sayuba ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Tiada yang dapat menambah umur kecuali amal kebajikan. Dan tiada suatu yang dapat menolak takdir kecuali doa. Dan sesungguhnya seorang itu diharamkan rezeki baginya disebabkan dosa yang diperbuatnya”.

Adapun kesan yang ketiga pula ialah hawa nafsu akan menguasai diri. Bila hawa nafsu telah menguasai diri manusia, sudah setentunya mereka tidak akan dapat menilai tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Mereka juga akan terus hanyut dibuai keseronokan yang akhirnya membawa padah yang buruk dan mendapat kemurkaan daripada Allah. Firman Allah swt dalam Surah Al Jaatsiyah, ayat 23 tafsirnya :

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu wahai Muhammad terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya : Tuhan yang dipatuhinya dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah menjadikan dia berkeadaan demikian? Oleh itu, mengapa kamu wahai orang-orang yang ingkar tidak mahu beringat dan berinsaf?”.

Kesan yang keempat pula ialah mendapat azab dari Allah swt. Setiap pelaku dosa atau maksiat perlu menyedari bahawa dosa dan maksiat yang dilakukan akan mendapat kemurkaan Allah. Allah berfirman dalam Surah Asy Syuura ayat 30, tafsirnya :

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan atau bala bencana, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu”.

Dari kesan-kesan dosa dan maksiat yang dijelaskan tadi, apakah tidak timbul kesedaran di dalam diri kita untuk menginsafi segala perbuatan dosa dan maksiat yang telah kita lakukan. Apa yang penting ialah kita hendaklah sentiasa muhasabah diri, bertaubat, berdoa dan seterusnya berazam untuk kembali ke jalan yang benar dan lurus serta diredhai Allah. Semoga dengan demikian, Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan sentiasa melimpahkan rahmat dan belas kasihan Nya kepada kita semua sehingga dengannya kita dapat hidup aman bahagia di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah swt dalam Surah An Nuur, ayat 31 tafsirnya :

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya”.

Isnin, 1 Oktober 2012

puasa si miskin...!

Antara pelajaran yang paling memberikan pengajaran padaku dalam meniti perjalanan hidup ini...

Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun: 

"Mana emak? " "Mak pergi menoreh," jawabnya. "Mana bapak?" "Bapak pergi kerja..." "Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan. 

"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan. "Awak ada berapa orang adik-beradik? " "Sepuluh." "Adik ni yang ke berapa?" "Saya yang kelapan." "Mana abang-abang kamu pergi?" "Tolong emak menoreh." "Adik puasa hari ini?" "Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..."Jawabnya. 

Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu. Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?" "Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..". "Bapak kerja apa?" "Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk". 

Budak itu memberitahu, lebih baik bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. 

Aku berlalu dari situ dengan seribu satu keinsafan. Kebetulan disimpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. 

Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. 

Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. 

Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: 

Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu. 

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah pakcik.." 

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? 

Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. 

Dia berkata "Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat." Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?" "Cuma RM3.00 sehari." "Ayahnya bekerja macam mana" "Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari." 

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah.. 

Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? 

Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalaupun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita. 

Mudah-mudahan menjadi tauladan bagi kita dan hendaklah sentiasa bersyukur dengan apa yang ada pada kita. Hidup kita susah hidup orang lebih lagi....